Petition #70:
BANTAHAN TERHADAP KAWASAN KEDIAMAN KAMI YANG DIJADIKAN ASRAMA PELAJAR DAN TEMPAT PENDAFTARAN PELAJAR
Petition To: "YB. DATO' SERI MOHAMED KHALED BIN NORDIN Menteri Pengajian Tinggi, YB. DATO' RAJA NONG CHIK ",
Y. BHG. Dato' Seri/ Tan Sri/ Dato’ Wira/ Dato',
Perkara : BANTAHAN TERHADAP KAWASAN KEDIAMAN KAMI YANG DIJADIKAN ASRAMA PELAJAR DAN TEMPAT PENDAFTARAN PELAJAR BARU KOLEJ SAINS DAN KEJURURAWATAN PUSRAWI SDN. BHD. (PICOMS)
Kami mewakili pemilik-pemilik Kondominium Casa Idaman membantah sekeras-sekerasnya tindakan Kolej Sains dan Kejururawatan Pusrawi Sdn. Bhd. (PICOMS) menjadikan kawasan kediaman kami sebagai asrama pelajar dan rumah kelab penduduk sebagai tempat pendaftaran pelajar baru pada hari Isnin, 18hb Julai 2011 bagi Pengajian Farmasi, Sains Perubatan dan Sains Kesihatan Persekitaran. (Sila rujuk foto di lampiran 1, 2, 3 & 4)
2. Sebagai sebuah kawasan kediaman baru, Kondominium Casa Idaman hanya mula diduduki kami dalam jangka masa 6 bulan yang lepas dan kebanyakkannya dimiliki oleh pemilik-pemilik kediaman kali pertama yang berbilang kaum. Keputusan untuk membeli kediaman ini bukanlah perkara yang mudah dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi serta melibatkan perancangan yang rapi kerana ia merupakan suatu komitmen jangka panjang. Adalah menjadi idaman setiap pemilik seperti kami untuk menikmati sebuah persekitaran kediaman yang selamat, selesa, harmoni serta mempunyai kemudahan rekreasi asas seperti kolam renang, jimnasium, tempat permainan kanak-kanak dan sebagainya.
3. Walau bagaimana pun, idaman tersebut hanyalah sia-sia. Sehingga tarikh surat ini ditulis, maklumat daripada pejabat pengurusan menyatakan bahawa sebanyak 31 unit kediaman telah pun disewa oleh PICOMS dan setiap satunya dihuni oleh 8 orang pelajar. Dikhuatiri bilangan tersebut cumalah permulaan memandangkan pengambilan lebih ramai pelajar yang seterusnya dijangka bertambah dari bulan September ke atas. Berikut adalah masalah-masalah dan kebimbangan yang dihadapi oleh para penghuni semenjak bermulanya gejala di atas :
3.1 Pergerakkan Keluar Masuk – Peningkatan secara mendadak pergerakkan keluar masuk samada kenderaan atau pejalan kaki yang didorong oleh kegiatan pelajar-pelajar yang kerap keluar masuk. Kehadiran bas-bas yang menunggu pelajar untuk ke kelas di awal pagi pula menyesakkan lagi pintu masuk utama kami yang sememangnya sibuk dengan pergerakkan penghuni keluar ke tempat kerja.
3.2 Keselamatan – Pergerakkan keluar masuk yang tinggi mengundang risiko keselamatan yang lebih tinggi kerana peningkatan beban tugas pengawal keselamatan kami. Pintu kaca dengan kad akses ke lobi lif tidak dapat berfungsi dengan sempurna memandangkan setiap rumah hanya dibekalkan dengan dua keping kad akses sedangkan bilangan pelajar PICOMS adalah 8 org setiap rumah.
3.3 Lif – Masa menunggu lif adalah lebih lama daripada biasa terutamanya di waktu puncak. Keadaan ini sangat menyusahkan penghuni untuk turun naik lif lebih-lebih lagi dengan anak kecil dan barang-barang seharian.
3.4 Kolam Renang – Peraturan-peraturan penggunaan kolam renang tidak dipatuhi oleh para pelajar tidak kira lelaki atau perempuan bergurau senda terpekik terlolong membuat bising, tidak mengenakan pakaian renang yang sesuai, membuang sampah merata-rata serta mengingkari amaran-amaran lisan yang dibuat oleh pengawal keselamatan. Bilangan mereka yang ramai di satu-satu masa seakan pesta mengganggu privasi kami yang turut menggunakannya.
3.5 Jimnasium – Keadaan jimnasium kami yang kecil dengan alat-alat senaman asas sentiasa dipenuhi dengan para pelajar di waktu-waktu puncak. Keadaan ini menghalang penghuni-penghuni lain daripada turut menggunakannya.
3.6 Taman Permainan – Kedudukan taman permainan yang terasing di belakang blok B disalahgunakan oleh para pelajar untuk mendapatkan privasi masing-masing terutamanya di waktu malam. Ada juga di antara mereka yang melepaskan geram dengan turut melenjan peralatan yang disediakan untuk kanak-kanak tersebut yang dikhuatiri mengundang kerosakan.
3.7 Tempat Letak Kereta Pelawat – Kehadiran pelajar-pelajar ini telah meningkatkan jumlah kereta di tempat letak kereta pelawat memandangkan taraf hidup mereka yang lebih baik yang mampu belajar di pusat pengajian tinggi swasta.
3.8 Penyelenggaraan – Masalah-masalah di atas meningkatkan lagi kos pengurusan tempat kediaman kami yang dahulunya rata-rata didiami oleh 2 hingga 3 orang dewasa setiap rumah. Sikap pelajar-pelajar yang tidak mempunyai ‘self belonging’ menyebabkan tempat kediaman kami mudah rosak dan memerlukan jadual penyelenggaraan yang lebih kerap.
3.9 Risiko kebakaran – Tindakan PICOMS menjadikan unit-unit kediaman sebagai ‘hostel’ yang memiliki kemudahan saluran gas secara terus meningkatkan risiko kebakaran akibat daripada penyalahgunaan serta membatalkan jaminan insuran kebakaran.
3.10 Nilai hartanah – Berdasarkan kepada insiden-insiden di atas yang turut dialami oleh banyak kawasan kediaman seperti kami, bakal-bakal pembeli rumah kediaman di pasaran sekunder akan menjauhi Kondominium Casa Idaman. Permintaan yang berkurangan akan menyebabkan pemilik-pemilik seperti kami terpaksa menjual unit-unit kami kelak di bawah harga pasaran dan mengalami kerugian.
3.11 Tekanan Kehidupan – Secara keseluruhannya, masalah-masalah yang telah ditimbulkan di kawasan kediaman kami menambahkan lagi tekanan kehidupan di ibu kota selain daripada tekanan kerja, kewangan dan keluarga.
4. Kami dengan ini ingin menegaskan bahawa Kolej Sains dan Kejururawatan Pusrawi Sdn. Bhd. (PICOMS) telah mengambil kesempatan dengan secara terancang menyewa unit-unit kediaman di Kondominium Casa Idaman yang kemudiannya di jadikan asrama kemudahan pelajar institusi pengajian tinggi swasta melalui bayaran yuran pengajian yang dikenakan. PICOMS juga didapati menyalahgunakan kelebihan sebagai penyewa dengan mempengaruhi pejabat pengurusan Kondominium Casa Idaman (bukan JMB – Joint Management Body) untuk menyewa rumah kelab penduduk sebagai tempat pendaftaran pelajar baru tanpa sebarang notis dan persetujuan pemilik-pemilik Kondominium Casa Idaman. Sebagai sebuah pusat pengajian tinggi swasta, PICOMS tertakluk kepada akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) yang dilihat menyalahi Bahagian XIV – Kesalahan dan Penalti serta Bahagian X – Pembatalan Kelulusan dan Pengkanselan Pendaftaran.
5. PICOMS yang merupakan sebuah entiti perniagaan sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan menempatkan pelajar-pelajarnya di mana-mana bangunan berstatus komersial, bukan di dalam kawasan kediaman seperti Kondominium Casa Idaman. Tiada gunanya pihak kerajaan mewujudkan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PriMa) dan seumpamanya sekiranya pihak kerajaan menutup mata dalam menjaga keharmonian pembeli-pembelinya yang turut mengidamkan suasana perumahan yang hak dan selesa, bukan suasana sebuah hostel yang kami alami sekarang.
6. PICOMS yang sepenuhnya dimiliki oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sepatutnya meletakkan hak-hak sesuatu itu ditempat yang betul, mengambil kira kebajikan dan sensitiviti umat Islam / jiran-jiran bukan Islam. Ingin ditegaskan di sini bahawa:
· Kondominium Casa Idaman bukanlah jalan singkat dan mudah untuk PICOMS memenuhi keperluan hostel.
· Kami bukan warden yang terpaksa memantauan tingkah-laku pelajar.
· Kami tidak membayar bil penyelenggaraan bulanan untuk penyelenggaraan tambahan akibat pertambahan ketumpatan penduduk.
7. Kami mewakili pemilik-pemilik Kondominium Casa Idaman merayu agar pihak Dato' Seri/ Tan Sri/ Dato' Wira/ Dato’ dapat mempertimbangkan bantahan kami sebaiknya bagi memastikan hak dan kesejahteraan kami terbela.
Diharapkan bantahan kami ini berada dalam keadaan teratur serta mendapat maklum balas sewajarnya secepat mungkin.
Terima Kasih.
JAWATANKUASA BERTINDAK GABUNGAN PEMILIK-PEMILIK KONDOMINIUM CASA IDAMAN
Yang benar,
Seperti tandatangan di bawah
(Isnin, 1hb Ogos 2011)
Salinan :
1) Ketua Pegawai Eksekutif,Kolej Sains dan Kejururawatan Pusrawi Sdn. Bhd. (PICOMS)
Tingkat 5, Bangunan Tabung Haji, 28 Jalan Rahmat, Off Jalan Ipoh, 50350 Kuala Lumpur
Tel : 03-4044 9505, Faks : 03-4044 9502, e-Mel : admin@kolejpusrawi.edu.my
2) Pengurus,
KJ Property Management Sdn. Bhd.
D/A Pejabat Pengurusan Kondominium Casa Idaman,
Jalan 1/12D Kampung Batu Muda,
51100 Kuala Lumpur.
Sincerely,
The Undersigned
(Sun, 31 July, 2011)
Discuss This Petition
Signatures
Showing 10 latest signatures out of 58 signatures... [Sign this Petition] [View All Signatures]
| Name | Location | Comments | Date Signed | |
|---|---|---|---|---|
| Anonymous | Gombak | Kediaman kami juga menjadi mangsa.. :( | 13-May-2012 | |
| Ana | Gombak | Same things happen at our place Banjaria Court and PV13...MUST DO SOMETHING ABOUT THIS...IF NOT....ALL CONDO IN KL BECOME PICOMS HOSTEL... | 26-Apr-2012 | |
| Anonymous | Jalan Ipoh, Casa Idaman | The problem has been identified clearly in the letter. Appreciated some constructive action will be taken. | 11-Apr-2012 | |
| Tan Yen Peng | Malaysia | To protect house owners and residents! | 08-Apr-2012 | |
| ENG HAW MIN | CI | support | 04-Apr-2012 | |
| Michelle Ong | casa idaman | 30-Mar-2012 | ||
| Wendy Tan | A-15-13a | Get out PICOMS!!! | 28-Mar-2012 | |
| Chin | A-15-13a | I support this petition!!! | 28-Mar-2012 | |
| Mohd Saiful Azly Bin Abdullah | A-18-6 Casa Idaman | Semoga bantahan ini mendapat perhatian dan tindakan yang sewajarnya dari pihak-pihak yang berkenaan. | 11-Aug-2011 | |
| Norfaizal Azalli | block A casa idaman condo | 10-Aug-2011 |
[Sign this Petition] [View All Signatures]
Author:
Hazral Mohd
Tags:
casa idaman, rakyat, condominium, jmb,
Embed Widget:
Copy & paste code:

